Thursday, November 22, 2018

PEMBAHASAN QADHIYAH DALAM ILMU MANTIQ





PPEMBAHASAN DETAIL TENTANG QADHIYAH DALAM ILMU MANTIQ
Ilmu Mantiq; bagian dari kesempurnaan mempelajari ilmu agama

Pengertian Qadhiyah dan macam-macamnya


Menurut Kamus Al-Munawwir qadhiyah berarti mengadili atau menghukumi di antara dua perkara.

Manakala dalam ilmu mantiq qadhiyah membawa erti jumlah (mufidah) dalam ilmu Nahu. Apabila sejumlah rangkaian kata-kata digabungkan menjadi satu maka ia akan membentuk kata-kata yang tersusun sekaligus mengandungi makna tersendiri yang mudah difahami. Contohnya:

  1. Urusan ini meletihkan.
  2. Sebahagian mahasiswa tidak hadir kuliah.

Qadhiyah juga ialah:

قَوْلٌ مُفيْدٌ يَحْثَمِلُ الصِّدْقَ وَالكِذْبَ لَذَاتِهِ

Ertinya: Pernyataan yang sempurna, yang isinya mengandungi kemungkinan benar atau salah.

Dalam sesuatu perkara atau kejadian terdapat dua kemungkinan iaitu adakah ianya benar atau salah. Contohnya:

  1. Tahun depan saya akan menjadi graduan.
  2. Bangunan KUPUSB yang baru dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Kejadian-kejadian seperti ini belum dapat dipastikan adakah ianya akan terjadi ataupun tidak. Berdasarkan definisi di atas, qadhiyah ialah menghukumkan antara dua perkara yang tidak diketahui kesahihannya benar atau salah.

Jika salah satu daripada perkara tersebut benar-benar terjadi, maka ianya bukan disebabkan oleh qadhiyah (kata-kata) itu, akan tetapi ianya disebabkan oleh orang yang mengatakannya kerana kata-kata itu tidak akan terjadi dengan sendirinya melainkan ada yang melaksanakannya. Begitu juga sebaliknya, jika salah satu daripada perkara tersebut tidak berlaku, maka ia bukanlah salah qadhiyah tersebut melainkan orang yang mengatakannya kerana ia tidak melaksanakannya atau berbohong tentang perkara tersebut. Inilah mengapa perkara atau qadhiyah itu dikatakan mempunyai dua kemungkinan.


Tiap-tiap qadhiyah itu mempunyai tiga unsur iaitu:

  1. Mawdu (Al-Mahkum ‘alaih).
Contoh: Siti sedang tidur. Yang menjadi mawdu(subjek) ialah siti.

  1. Mahmul (Al-Mahkum bih).
Contoh: Aiman pergi memancing. Yang menjadi mahmul (predikat) ialah memancing.

  1. Rabithah (penghubung).
Contoh: Kamal pergi membeli makanan. Yang menjadi rabithah ialah pergi.

Qadhiyyah terbahagi kepada dua, iaitu:
  1. Qadhiyah Hamliyah
  2. Qadhiyah Syarthiyah.




Menerangkan tentang terjadinya sesuatu ketetapan hukum itu tidak bergantung pada suatu yang lain. Ianya juga adalah antara mawdu dan mahmul yang tidak terikat dengan mana-mana syarat. Contohnya jika kita membayangkan tentang sesuatu, lalu kita nilai apa yang kita bayangkan itu dengan sesuatu yang lain maka, apa yang kita bayangkan pada awalnya itulah yang disebut sebagai mawdu manakala yang kemudiannya itu ialah mahmul dan yang menghubungkan di antara keduanya ialah rabithah. Contohnya:

Bulan itu cantik

                                      (Mawdu)              (rabithah)               (mahmul)

Qadhiyah Syarthiyah

Apabila dua ayat daripada qadhiyah hamliyah itu dihubungkan dengan suatu perkataan yang berbentuk syarat seperti jika, kalau, bagaimanapun dan banyak lagi, maka akan terhasil qadhiyah syarthiyah. Contohnya:

a)   Daging direbus.
b)   Daging menjadi rapuh.

Ayat yang pertama disebut sebagai muqaddam dan yang kedua pula ialah tali. Apabila dicantumkan keduanya ia menjadi jika daging direbus, ia menjadi rapuh. Qadhiyah syarthiyah dibahagikan pula kepada dua bahagian iaitu qadhiyah syarthiyah muttashilah dan qadhiyah syarthiyah munfashilah. Kedua-dua qadhiyyah di atas saling melengkapi antara satu sama lain dan daripada penyatuan ini terbentuklah qadhiyah syarthiyah muttashilah.

Adapun qadhiyah syarthiyah yang satu lagi ialah dua qadhiyah yang digabungkan menjadi satu dengan perkataan seperti adakalanya, mungkin, kadang-kadang dan sebagainya. Akan tetapi gabungan itu tidak menjadikan qadhiyah itu mempunyai maksud yang sama malah ia berlawanan antara keduanya disebabkan oleh perbezaan maksud apabila kedua-dua qadhiyah tersebut dipisahkan. Contohnya:

          a. Muhammad di dalam rumah.
     b. Muhammad di luar rumah.

Apabila digabungkan ia menjadi adakalanya Muhammad di dalam rumah, adakalanya Muhammad di luar rumah. Ini adalah contoh qadhiyah syarthiyah munfashilah.

Keistimewaan qadhiyah hamliyah ialah qadhiyah tersebut dapat dibentuk dengan suatu yang positif dan juga negatif, tidak seperti qadhiyah syarthiyah.                                                                                                                                                                                             

Qadhiyah hamliyah dibahagikan seperti berikut:
  1. Qadhiyah hamliyah mujibah kulliyah.
  2. Qadhiyah hamliyah mujibah juz’iyah.
  3. Qadhiyah hamliyah salibah kulliyah.
  4. Qadhiyah hamliyah salibah juz’iyah.

Qadhiyah Hamliyah Mujibah Kulliyah.

Yang dimaksudkan dengan mujibah ialah qadhiyah yang digabungkan antara muqaddam (benar) dan tali (salah) adalah merupakan suatu kelaziman (kebiasaan).

Mujibah kulliyah ialah qadhiyah yang diantara muqaddam dan talinya terdapat gabungan dalam setiap keadaan dan situasi. Contohnya:

  1. لا واحد من المفكرين جماد
Tidak ada satu pun dari benda yang berfikir itu mati.
  1. لا شيئ من الجماد بمفكر
Tidak ada satu pun dari benda mati itu berfikir.

Qadhiyah Hamliyah Mujibah Juz’iyah.

Mujibah juz’iyah ialah qadhiyah yang di antara muqaddam dan talinya terdapat gabungan dalam beberapa keadaan atau waktu-waktu yang tidak tertentu. Contohnya:

  1. بعض الجماد حجر
Sebahagian benda yang mati itu batu.
  1. كل حجر جماد
Setiap batu adalah benda mati.

Qadhiyah Hamliyah Salibah Kulliyah.

Yang dimaksudkan dengan salibah ialah qadhiyah yang di antara tali dan muqaddamnya tidak mempunyai apa-apa hubungan yang lazim.

Salibah kulliyah ialah qadhiyah yang di antara muqaddam dan talinya tidak mempunyai ikatan dalam segala keadaan dan situasi. Contohnya:

  1. Tidak semestinya setiap kali mahasiswa itu rajin, setiap kali pula ia mendapat penghargaan.

Qadhiyah Hamliyah Salibah Juz’iyah.

Salibah juz’iyah ialah qadhiyah yang di antara muqaddam dan talinya tidak mempunyai hubungan dalam sesuatu keadaan atau waktu yang tidak tertentu. Contohnya:

  1. Tidak semestinya setiap kali mahasiswa itu rajin, ia pasti akan menjadi ijazah (keadaan).
  2. Tidak semestinya hanya pada bulan Ramadhan anda boleh berpuasa (situasi).

Qadhiyah hamliyah yang dilihat dari segi mawdu ada empat bahagian iaitu:

  1. Syakhshiyah
  2. Muhmalah
  3. Kulliyah
  4. Juz’iyah

Syakhshiyah.
Qadhiyah hamliyah yang mana mawdunya adalah merupakan manusia yang tertentu atau mawdunya itu terdiri daripada salah satu isim-isim (kata nama) ma’rifah. Contohnya: China mempunyai populasi yang paling ramai di dunia.

Muhmalah.
Qadhiyah hamliyah yang mana mawdunya adalah dengan lafaz kulli, tetapi mahmulnya belum tentu ada pada semua atau sebahagian mawdunya. Contohnya:
Manusia itu bijak. Dikategorikan sebagai muhmalah adalah kerana bijak (mahmul) itu tidak ada pada semua manusia (lafaz kulli). Tidak dapat dikatakan semua manusia itu bijak kerana ada sesetengah daripada mereka yang diciptakan oleh allah dalam keadaan yang kurang upaya.

Kulliyah.
Qadhiyah hamliyah yang mana mawdunya adalah dengan lafaz kulli manakala mahmulnya bergantung sepenuhnya kepada mawdu. Contohnya:

Seluruh makhluk yang hidup memerlukan makanan.
                             Mawdu dengan lafaz kulli                   Mahmul

Juz’iyah.
Qadhiyah hamliyah yang mana mawdunya adalah dengan lafaz juz’i manakala mahmulnya hanya sebahagian saja yang bergantung kepada mawdu. Contohnya:
Sebahagian benda cair. Perkataan sebahagian benda itu adalah lafaz juz’i yang menjadi mawdu manakala perkataan cair pula ialah mahmul yang hanya terdapat pada sebahagian benda sahaja.


pembagian qadhiyah dalam ilmu mantiq
Puyeng kalo dah bahas qadhiyah hehe
Sur adalah perkataan arab yang bermaksud pagar atau batas. Dari segi bahasa pula ialah rangkuman. Maksudnya ialah merangkumi semua atau sebahagian sahaja. Seperti lafaz semua, tiap-tiap atau sebahagian, tidak semua dan sebagainya. Kesemua lafaz sur tersebut apabila ia berada di awal lafaz atau qadhiyah maka dinamakan ia qadhiyah mahshurah iaitu qadhiyah yang cukup jelas rangkumannya, semua atau sebahagian.

Manakala dari segi istilah mantik, sur ialah lafaz yang merujuk kepada kamiyah (jumlah) yang ditentukan yang berlaku kepada mawdu. Contohnya:

  1. Berapa banyak peserta yang melibatkan diri dalam persembahan dikir itu?
  2. Sebahagian peserta melibatkan diri.

Sur terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu:

  1. Sur kulli mujabah.
  2. Sur kulli salibah.
  3. Sur juz’i mujabah.
  4. Sur juz’I salibah.

Sur Kulli Mujabah.
Lafaz untuk sur kulli mujabah ialah setiap, sekalian, umumnya, seluruhnya dan sebagainya yang menunjukkan adanya mahmul pada keseluruhan mawdu. Contohnya:

  1. Semua yang hidup pasti akan mati.
  2. Semua saudara-mara hadir.

Sur Kulli Salibah.

Lafaz untuk sur kulli salibah ialah tidak satu pun, tidak seorang pun, tiada satu pun berupaya, tiada satu pun yang kuat, tiada seorang lelaki pun dan sebagainya yang menunjukkan tiada adanya mahmul pada keseluruhan mawdu. Contohnya:
  1. Tiada satu pun berupaya melawan takdir Allah
  2. Tidak satu pun murid yang menurutinya.

Sur Juz’i Mujabah.
Lafaz untuk sur juz’i mujabah ialah sebahagian, banyak, sebahagian besar, sedikit dan sebagainya yang menunjukkan adanya mahmul pada sebahagian mawdu. Contohnya:
  1. Sebahagian mahasiswa lewat masuk kuliah.
  2. Sedikit saja yang memberikan perhatian.

Sur Juz’i Salibah.
Lafaz untuk sur juz’i salibah ialah tidaklah sebahagian, tidaklah setiap, tidaklah semua, sebahagian tidak dan sebagainya yang menunjukkan tiada adanya mahmul pada sebahagian mawdu. Contohnya:
  1. Tidaklah setiap yang datang itu menyukainya.
  2. Tidaklah semua wanita Islam itu menutup aurat.


Pengertian Qadhiyah Syarthiyah adalah seperti berikut:
Ø  Gabungan diantara dua qadhiyah dan dimasukkan didalamnya adat syarat (اداة شرط) seperti: jika, kalau, bagaimanapun dan sebagainya. Jika dalam Bahasa arab adat syaratnya ialah lau, in, kullama, mahma dan sebagainya. Dengan dimasukkan adat syarat ini maka kedua-dua ayat ini menjadi satu qadhiyah baru. Contoh ayat: Sekiranya anda berusaha, maka anda akan berjaya.

Ø  Qadhiyah syarthiyah ini juga adalah tergantungnya suatu hukum yang tidak lengkap itu kepada suatu hukum yang lain. Contoh ayat: Kalau saya sehat, saya pergi rumah awak.

Ø  Qadhiyah Syarthiyah adalah sesuatu penyataan yang mengikat sesuatu hukum dengan sesuat syarat atau ikatan. (Ab. Latif & Rosmawati, 1997) Contoh: Sekiranya matahari terbit, siang akan wujud. Oleh itu, seandainya matahari tidak terbit, siang tidak akan berlaku.


Qadhiyah Syarthiyah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu:
ü  Qadhiyah Syarthiyah Al-Muttashilah
ü  Qadhiyah Syarthiyah Al-Munfasillah.

Qadhiyah Syarthiyah Al-Muttashilah

Qadhiyah Syarthiyah Muttashilah adalah qadhiyah yang mempunyai hubung kait antara qadhiyah pertama dan qadhiyah yang kedua, yang mana kedua-duanya diikat oleh adat (kata) syarat. Qadhiyah syarthiyah juga membawa maksud sesuatu al-Qadhiyah yang dihukumkan kebenaran sesuatu al-qadhiyah dengan berdasarkan kepada kebenaran satu al-qadhiyah yang lain ketika membuat ithbat iaitu penetapan atau ijab, iaitu positif. Antara lain juga, bermaksud tidak benar sesuatu al-qadhiyah itu berdasarkan tidak benar satu al-qadhiyah yang satu lagi. Contohnya: Jika sekiranya matahari terbenam, maka malam pun menjelang.
Juzu’ (جزء)Qadhiyah Syarthiyah Muttashilah

Qadhiyah Syarthiyah Muttashilah mempunyai tiga unsur atau juzu’ kalimah yang mesti ada didalamnya, iaitu:
ü  Muqaddam (المقدم) dikenali juga dengan jumlah as-syarat (جملة الشرط).
ü  Tali (التالي) dikenali juga dengan jumlah al-jawab (جملة الجواب).
ü  Adat As-Syarat (اداة  الشرط)
Contoh ayat:
  • Jika (adat syarat) matahari terbit (muqaddam), terjadilah siang (tali).
  • Kalau (adat syarat) saya sehat (muqaddam), saya pergi ke rumah awak (tali).

Sur Qadhiyah Syarthiyah Al-Muttashilah
Sur Qadhiyah Syarthiyah Al-Muttashilah ini terbahagi kepada empat bentuk, iaitu:
1)   Kulliyah Mujabah.
2)   Kulliyah Salibah
3)   Juz’iyah Mujabah
4)   Juz’iyah Salibah

Kuliyyah Mujabah
Sur untuk Al-Qadhiyah Al-Syarthiyah Al-Muttashilah Kulliyyah Mujabah ialah: Kullama (كلما) iaitu setiapkali. Mahma  (مهما)  iaitu bagaimanapun dan mata(متى)  iaitu bilapun.
Contoh:       Apabila setiap bangsa mendalami ilmu pengetahuan, maka bangsa itu akan maju.

Kulliyah Salibah
Sur untuk Al-Qadhiyah Al-Syarthiyah Al-Muttashilah Kulliyyah Salibah ialah: Laisa al-Battata (ليس البتة) iaitu tidak sekali-kali.

Contoh:       Tidak sekali-kali apabila setiap bangsa itu mendalami ilmu pengetahuan, maka keadaan bangsa itu mundur.
Juz’iyah Mujabah

Sur untuk Al-Qadhiyah Al-Syarthiyah Al-Muttashilah Juz’iyah Mujabah ialah: Qad yakunu(قد يكون)  iaitu kadang-kadang akan berlaku.

Contoh:       Kadang-kadang akan berlaku. Bila hujan lebat turun di sesuatu daerah, maka terjadinya banjir.

Juz’iyah Salibah

Sur untuk Al-Qadhiyah Al-Syarthiyah Al-Muttashilah Juz’iyah Salibah ialah: Qad La Yakunu (قد لا يكون) iaitu kadang-kadang tidak akan berlaku.

Contoh:       Kadang-kadang tidak akan berlaku. Jika sesuatu itu logam, pasti sesuatu itu emas.

Qadhiyah syarthiyah Al-Munfashilah

Qadhiyah Syarthiyyah munfashilah itu berbeza dengan qadhiyah syarthiyah muttasilah iaitu qadhiyah yang menetapkan adanya perlawanan antara dua juzu’nya. Seperti: Laila adakalanya berjalan, adakalanya berlari.

Kata berjalan dan berlari jelas berlawanan, berlainan dan berpisah. Namun kedua kata-kata ini diikat oleh kata adakalanya (adat syarat) yand dalam Bahasa arabnya imam, sehingga muncul menjadi satu qadhiyah. Disebabkan yang diikat itu berlawanan maka ia diberi nama Qadhiyah Syarthiyah Munfasillah.[1] (Munfasillah adalah: berpisah)

Bahagian Qadhiyah Syarthiyah Munfasillah
Qadhiyah Syarthiyah Munfasillah terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu:
1)   Mani’ah Jam’in,
2)   Mani’ah Khuluw,
3)   Mani’ah jam’in wa Khuluw

Mani’ah jam’in

Ditolak perkumpulannya. Maksudnya Muqaddam dan At-tali tidak dapat dikumpulkan sekaligus, tetapi boleh jika keduanya dipisahkan sekaligus.

Contohnya:           Ali adakalanya duduk dan ada kalanya berdiri. Perbuatan duduk dan berdiri tidak dapat dilakukan sekaligus tetapi kedua-duanya boleh untuk tidak dilakukan sebagai contoh ia sedang tidur atau sebagainya.

Mani’ah Khuluw

Melarang kosong, melarang tidak ada atau melarang terlepas. Dalam ilmu mantiq mani’ah Khuluw adalah bahawa muqaddam dan tali dalam qadhiyah syarthiyah munfashilah tidak mungkin kosong, dipisahkan atau ditidakkan dari sesuatu secara sekaligus.

Contohnya: Aisyah ada kalanya berada dilautan, adakalanya tidak tenggelam. Perkawa ini boleh jadi jika Aisyah berperahu misalnya.

Mani’ah Jam’in wa Khuluw (Haqiqiyyah)

Tidak dapat dikumpulkan dan tidak dapat dipisahkan. Maksudnya muqaddam dan al-tali tidak dapat dikumpulkan sekaligus dan tidak juda dapat dipisahkan darinya sekaligus.

Contohnya: Muhammad adakalanya mati dan adakalanya hidup, andaikata Muhammad sekaligus mati dan hidup itu tidak mungkin terjadi, sebaliknya jika ia tidak mati dan tidak juga hidup maka itupun tidak mungkin.

SUR QADHIYAH SYARTIYAH MUNFASHILAH

Sur adalah lafaz yang memberi  ukuran pengertian hal atau zaman atas satu qadhiyah ,bertentangan  atau tidak  antara muqaddam dan tali.

Sur qadhiyah syartiyah munfashilah terbahagi kepada dua iaitu kulli dan juz’i. Sementara itu kulli dan juz’i pula masing-masing terbahagi kepada dua iaitu kulli ijabi dan salibi, juz’i  ijabi dan salibi.

Sur Kulli.
Sur kulli terbahagi kepada dua iaitu sur kulli ijabi dan sur kulli salibi. Sur kulli ijabi  bagi qadhiyah syartiyah munfashilah ditentukan oleh adanya perlawanan antara muqaddam dan tali-nya dalam segala keadaan dan waktu. Lafaz untuk itu adalah: selamanya. Dan ia di panggil da’iman dalam Bahasa arab.

Contoh;
Selamanya adakalanya cuaca musim hujan atau musim kemarau.
Selamanya adakalanya udara bersih atau kotor.

Sur kulli salibi  bagi qadhiyah syartiyah  munfashilah  ditentukan oleh  tidak ada perlawanan  antara muqaddam dan tali-nya dalam segala keadaan dan waktu. Lafaz untuk itu adalah: tidak sama sekali.Dan ia dipanggil laisa al-battah dalam Bahasa arab.

Contoh;
Tidak sama sekali adakalanya bilangan  ganjil dan adakalnya tidak dapat dibahagi dua.
Tidak sama sekali manusia  itu adakalanya hidup ,adakalanya tidak mati.

Sur Juz’i.
Sur juz’i terbahagi kepada dua iaitu sur juz’i ijabi dan sur juz’i kulli. Sur juz’i ijabi bagi qadhiyah syartiyah munfashilah ditentukan  oleh adanya perlawanan antara muqaddam dan tali-nya dalam beberapa keadaan dan waktu-waktu  yang tidak tertentu. Lafaz untuk itu adalah: kadang-kadang dan dalam Bahasa arab ia dipanggil qad yakunu.

Contoh:
Kadang-kadang adakalanya bunga itu berkembang,adakalanya layu.
Kadang-kadang adakalanya anak itu menangis,adakalanya tertawa.

Sur juz’i  salibi bagi qadhiyah syartiyah munfashilah ditentukan  oleh adanya perlawanan antara muqaddam dan tali-nya  pada beberapa keadaan dan waktu –waktu  yang tidak tertentu. Lafaz untuk itu adalah: kadang-kadang tidak dan dalam Bahasa arab ialah qad la yakunu.

Contoh:
Kadang-kadang tidak adakalanya  bangsa Indonesia itu orang Jawa dan adakalanya orang Bugis.

Qadhiyah juga terbahagi kepada muhashalah dan ma’dulah. Qadhiyah muhashshalah  adalah qadhiyah hamliyah yang terdiri dari mawdu ( subjek ) dan mahmul ( predikat ) yang masing-masing  mawdu dan mahmul tidak dimasuki huruf sur. Qadhiyah muhashshalah terbahagi kepada tiga  iaitu qadhiyah muhashshalah mawdu, mahmul dan mawdu& mahmul.

Qadhiyah muhashshalah mawdu adalah qadhiyah yang mawdu-nya  tidak mendapat  kata menidakkan.

Contoh:
Udara bersih.
Udara tidak bersih.

Mawdu ( udara ) pada kedua contoh itu tidak mendapat kata-kata tidak. Sedang kata-kata tidak dalam contoh kedua bukan menidakkan mawdu( udara ) tetapi menidakkan mahmul ( bersih ).

Qadhiyah muhashshalah mahmul adalah qadhiyah yang mahmul-nya tidak mendapat kata-kata tidak

Contoh:
Udara bersih.
Tidaklah udara bersih.

Mahmul (bersih) pada kedua contoh tidak mendapat kata-kata menidakkan. Kata-kata tidaklah dalam contoh kedua bukan menidakkan mahmul ( bersih ) tetapi menidakkan mawdu ( udara ).

Qadhiyah muhashshalah mawdu dan mahmul  adalah qadhiyah yang mawdu dan mahmul-nya tidak mendapat kata-kata menidakkan.

Contoh:
Udara bersih.
Harga meningkat.
Hutang banyak.

Ma’dulah juga terbahagi kepada tiga iaitu qadhiyah ma’dulah mawdu, mahmul dan mawdu & mahmul. Qadhiyah ma’dulah adalah bila mawdu atau mahmul atau keduanya dimasuki huruf nafi.

Qadhiyah  ma’dulah mawdu adalah qadhiyah yang kata menidakkan merupakan bahagian dari (atau terdapt pada) mawdu-nya atau sebagian dari satuan mawdu nya ditidakkan.

Contoh:
Sebahagian yang bukan manusia adalah rumah.
Sebahagian yang bukan haiwan adalah manga.

Qadhiyah ma’dulah mahmul adalah qadhiyah  yang kata-kata menidakkan merupakan bagian dari mahmul-nya.

Contoh:

Cuaca tidak cerah.
Cuaca bukan tidak cerah.
Udara tidak sihat.
Udara bukan tidak sihat.

Qadhiyah ma’dulah mawdu dan mahmul adalah qadhiyah yang kata-kata menidakkan merupakan bahagian ari mawdu dan mahmul-nya.

Contoh:
 Setiap yang tidak bekerja keras tidak akan berhasil.
Setiap yang tidak jujur tidak akan disenangi.

Tanaqud adalah dua qadhiyah berlawanan secara positif ( ijab ) dan negatif (salab) sehingga yang satu benar dan yang lainnya salah.

Contoh:

Kelapa buah ( Q.1 ) ditanaqudhkan ( diperlawankan ) dengan kelapa bukan buah ( Q.2 ) , maka Q.1 benar dan Q.2 salah.

Untuk menentukan  dua qadhiyah  bertentangan  harus memenuhi 8 syarat:
1- Sama mawdu pada Q.1 dan Q.2.
2- Sama mahmul pada Q.1 dan Q.2.
3- Sama waktu pada Q.1 dan Q.2.
4- Sama tempat  terjadi pada Q.1 dan Q.2.
5- Sama dalam hal cara Q.1 dan Q.2 (Antara disengaja dibuat supaya menjadi sesuatu dengan tanpa disengaja dibuat sehingga menjadi sesuatu tadi dengan sendirinya ).
6- Sama  dalam hal sebagian ( juz’i ) dan keseluruhan ( kulli ) antara Q.1 dan Q.2.
7- Sama syarat ( kata ; jika,seandainya,dsb )pada Q.1 dan Q.2.
8- Sama idhafah dalam Q.1 dan Q.2.

Tanaqudh (perlawanan) untuk qadhiyah hamliyah syakhsiyah dan qadhiyah syartiyah makhshushah memadai dengan membuat  yang satu mujibah (kalimah positif ) dan yang lainnya salibah ( kalimah negativf ). Adapun qadhiyah yang diberi sur baik hamliyah mahupun syartiyah tidak memadai dengan yang mujibah (positif ) disalibahkan (negatif) tetapi harus di lengkapkan dengan ketentuan lainnya.

Syarat  lain untuk tanaqudh:

- Pada qadhiyah syartiyah muttashilah, kedua qadhiyah  yang diperlawankan harus sama dalam hal luzumiyah (keterikatan antara muqaddam dan tali secara keharusan ) dan ittifaqiyah ( keterikatan antara muqaddam dan tali secara kebetulan ).

- Pada qadhiyah syarthiyah munfashilah, kedua qadhiyah yang di perlawankan harus sama dengan hal inadiyah ( perlawanan antara muqaddam dan tali berlaku dengan sendirinya ) dan itifaqiyah ( perlawanan antara muqaddam dan tali berlaku secara kebetulan ).

- Kulliyah dengan kulliyah yang memakai sur,begitu juga juziyah dengan juziyah yang memakai sur, tidak biasa diperlawankan jika mawdu-nya lebih umum daripada mahmul-nya kerana kedua kulliyah yang diperlawankan akan menjadi masalah dan kedua juziyah yang diperlawankan akan menjadi benar. Padahal dalam tanaqudh,qadhiyah yang satu harus benar dan yang lainnya harus salah.

Terdiri dari dua kata aks dan mustawi. Dalam  terminology ilmu Mantiq aks adalah menjadikan bahagian pertama dari qadhiyah pertama  menjadi bahagian kedua pada qadhiyah kedua dan bahagian kedua pada qadhiyah kedua menjadi bahagian pertama pada qadhiyah pertama. Mustawi adalah  setelah dua qadhiyah dibalik, pengertiannya tidak berubah. Aks mustawi, kedua qadhiyah setelah dibalik tetap benar dan mempunyai pengertian yang sama.

Contoh:
Setiap orang Aceh adalah bangsa Indonesia ( Q1 )
Sebagian bangsa Indonesia adalah orang Aceh ( Q2 )

Setelah qadhiyah pertama diaks yang lantas memunculkan qadhiyah kedua ternyata keduanya tetap benar. Dengan demikian aksnya benar.

Aks naqid  ertinya lawan atau pertentangan dan ia terbahagi kepada dua iaitu aks naqid nawfiq bererti memindahkan qadhiyah  pada qadhiyah lain, mawdu qadhiyah  kedua diambil dari naqid mawdu  qadhiyah pertama. Mahmulnya diambil dari naqid mawdu qadhiyah pertama dengan syarat sidiqnya dan kaifnya tetap sama dan kedua ialah aks naqid mutakhif yang bermaksud memindahkan suatu  qadhiyah pada qadhiyah lain, mawdu nya  qadhiyah kedua diambil dari naqid mahmul qadhiyah.

Al-aks bermaksud membalikkan, membelokkan dan memalingkan.
Aks qadhiyah hamliyah dilakukan dengan cara menukar mawdu qadhiyah asal menjadi mahmul qadhiyah aks dan mahmul qadhiyah aks menjadi mawdu qadhiyah asal.

Contoh:
Setiap orang Timur timur bangsa Indonesia ( Q1 )
Sebagian bangsa Indonesia orang Timur timur( Q2 )

Aks qadhiyah syarthiyah muttashhilah dilakukan dengan cara membuat  muqaddam pada qadhiyah asal menjadi tali pada qadhiyah aks dan tali pada qadhiyah aks menjadi muqaddam pada qadhiyah asal.

Kesimpulannya, Qadhiyah ialah penyataan yang diucapkan oleh seseorang kepada orang lain yang mempunyai maksud tersendiri yang boleh difahami. Ianya terbahagi kepada beberapa bahagian dan setiap bahagian tersebut mempunyai makna dan peranan mereka masing-masing.



-----------------
Dicopypaste dari Makalah/Essay tentang Qadhiyah dalam Ilmu Mantiq
Semoga manfaat yang kita peroleh dari makalah ini kembali pahalanya kepada penulis aslinya.


No comments:

Post a Comment

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel